COVID-19: Polisi kerajaan tidak harus lagi populis, tapi berteraskan data dan sains – KJ

KUALA LUMPUR: Polisi kerajaan kini tidak lagi dibuat berdasarkan sentimen populis semata-mata, tetapi ia harus dipandu oleh data dan sains, tegas Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Khairy Jamaluddin.

Dalam sesi telekonferens anjuran Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah-Malaysia (EUMCCI) hari ini, beliau berkata, wabak COVID-19 yang sedang melanda dunia ketika ini, memaksa semua pihak untuk mengadaptasi normal baharu dalam pelbagai perkara.
Atas sebab itu, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, apa yang penting ialah sains dan bukti kukuh perlu menjadi pemangkin dalam setiap pembuatan polisi.

Source by Astro Awani

“Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat keputusan untuk memanjangkan lagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 12 Mei. Keputusan itu dicapai berdasarkan bukti saintifik
“Memang ada nasihat lain seperti nasihat berhubung isu keselamatan, kewangan dan sebagainya, tetapi kita melihat kepada data sebelum kita membuat keputusan untuk melonggarkan PKP sedikit, serta menentukan sektor mana boleh dibuka,” katanya lagi.

Sesi itu yang bertajuk - “Inisiatif MOSTI dalam menangani pandemik berterusan” - dikendalikan oleh Pentadbir EUMCCI Deda Rizwani, turut disertai Ketua Pengarah Eksekutif EUMCCI Sven Schneider, Pengerusi EUMCCI Oliver Roche, dan Duta Kesatuan Eropah ke Malaysia Maria Castillo Fernandez.

Dalam pada itu, Khairy berkata, MOSTI telah melaksanakan beberapa langkah dalam usaha memastikan usaha menangani COVID-19 itu dilakukan secara komprehensif.

Sebagai contoh, beliau berkata, kementerian mengadakan kerjasama rapat dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk meningkatkan kapasiti ujian saringan.

“Memang kita tidak melakukan saringan dalam skala besar-besaran (mass screening), tetapi lebih kepada saringan tertumpu. Jadi kerajaan telah memesan kit ujian pantas (RTK) untuk membolehkan kita mendapat keputusan saringan dengan lebih cepat,” katanya lagi.

Dengan adanya RTK itu, Khairy berkata, ia boleh membantu kerajaan dalam melihat sama ada pembukaan beberapa sektor ekonomi penting boleh dibuka secepat mungkin.

Selain itu, beliau berkata, MOSTI juga telah melaksanakan inisiatif penghasilan aplikasi yang yang memberikan maklumat kritikal kepada pengguna seperti zon merah, pengesanan kontak, dan sebagainya, dan maklumat ini amat penting sekiranya PKP diberi lebih banyak kelonggaran nanti.

Share Us :


Loading...