Sven Schneider CEO baharu EUMCCI

KUALA LUMPUR –  Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah-Malaysia (EUMCCI) mengumumkan pelantikan Sven Schneider sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu berkuatkuasa 30 Mac ini.

Sven dipilih selepas melalui proses yang ketat oleh lembaga pengarah.

Lembaga Pengarah EUMCCI telah melantik agensi luar untuk memimpin proses pengambilan dan mengenal pasti calon yang sesuai.

EUMCCI dalam kenyataannya berkata, sepanjang 12 tahun dalam kariernya, Sven memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) dengan mempromosi negeri Selangor sebagai destinasi pelaburan utama di ASEAN.

Sebagai Pengarah Perdagangan, Pelaburan, Perancangan Strategik dan Pengarah Komunikasi Korporat dan Perancangan Strategik di Invest Selangor Berhad sebelum ini, Sven merupakan arkitek pembangunan ekosistem dan strategi promosi pelaburan negeri itu.

Sebelum ke Malaysia, Sven memulakan telah meneroka keusahawanan di Jerman ketika beliau menjalankan perundingan strategi pembangunan ekonomi dan program promosi eksport di peringkat negeri dan bandar.

Pengerusi EUMCCI, Oliver Roche berkata, Sven memiliki pelbagai kemahiran dan pengetahuan serta rangkaian yang luas untuk melaksanakan tanggungjawab barunya.

“Sebagai pengiktirafan misi EUMCCI untuk mempromosikan, menyokong dan membangunkan kepentingan perniagaan EU di Malaysia dan memperkukuh hubungan dua hala, lembaga itu telah memberi mandat Sven untuk memulakan perbincangan memperkasakan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU,” katanya.

EUMCCI mensasarkan meningkatkan kerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk terus mengembangkan pelaburan Eropah dan perdagangan dua hala pada tahun ini.

Dalam konteks yang sama, lembaga pengarah EUMCCI berhasrat mengukuhkan kerja advokasi ruang melalui pangkalan anggotanya yang luas (1,600) dengan kerjasama dua hala dewan dan jawatankuasa tematik EUMCCI.

“Kami merancang untuk mengumumkan perkongsian strategik dan beberapa inisiatif menarik untuk meletakkan kedudukan dewan ini sebagai platform utama bagi kemudahan pelaburan dan perdagangan ke Malaysia dan rantau ASEAN,” kata Sven Schneider.

EUMCCI mewakili 27 negara anggota EU yang menawarkan akses ke pasaran bernilai AS$18.8 trilion atau 22 peratus daripada ekonomi global.

Syarikat-syarikat EU telah melabur sebanyak RM1.1 bilion di Malaysia untuk tempoh Januari hingga September 2019 dan kekal sebagai rakan dagang utama bagi negara ini, dengan menyumbang 9.2 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia sehingga September 2019. – MalaysiaGazette


Sourced by Wartawan MalaysiaGazette

Share Us :


Loading...